Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) hari ini menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching bahawa Sarawak berhak mengutip Cukai Jualan Negeri (SST) bagi produk petroleum.

Kerajaan negeri Sarawak pada masa sama juga menarik balik rayuan balas berhubung isu bidang kuasa mahkamah tinggi mengenai perkara tersebut.

Panel tiga hakim mahkamah rayuan terdiri daripada Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Mohd Sofian Abd Razak membatalkan rayuan dan rayuan balas serta memerintahkan setiap pihak menanggung kos masing-masing.

Petronas yang diwakili peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar dan Penasihat Undang-Undang Negeri Sarawak, Datuk Seri J.C Fong yang mewakili kerajaan Sarawak dan pengawal cukai jualan Sarawak mengesahkan rayuan telah ditarik balik.

Sementara itu, J.C Fong menjelaskan, Petronas akan membayar jumlah SST kepada kerajaan negeri selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Katanya jaminan berkenaan sudah pasti mengukuhkan lagi kredibiliti Sarawak dalam pengurusan industri petroleum melibatkan Petronas di negeri tersebut.

“Petronas memberi jaminan kepada kerajaan negeri bahawa mereka sedang membuat persiapan untuk membayar cukai jualan negeri itu.

"Kita berharap dapat menerima bayaran itu dalam waktu terdekat,” katanya.

Tambahnya, pembayaran SST itu dalam masa sama membantu menyokong sumber kewangan negeri bagi membangunkan ekosistem ekonomi dan sosial yang lebih baik untuk warga Bumi Kenyalang.

“Keputusan tersebut nyata membantu meningkatkan pendapatan kerajaan negeri bagi urus tadbir projek pembangunan di negeri ini, jadi kerajaan negeri Sarawak akan mempunyai sumber pendapatan tambahan untuk membiayai agenda pembangunannya,” tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Dewan Undangan Negeri baharu pada Isnin.