Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) melancarkan program Konsultasi Guaman Syariah Secara DalamTalian bagi membantu umat Islam yang mempunyai isu atau konflik perundangan syariah mendapatkan khidmat nasihat sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presidennya, Musa Awang dalam kenyataan pada Selasa berkata ini susulan semua mahkamah syariah seluruh negara menangguhkan operasi dan prosiding kes buat sementara waktu berikutan PKP, yang dilaksanakan bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19.

Katanya jika dalam tempoh PKP ini berlaku konflik dalam rumah tangga masyarakat Islam, antaranya lafaz perceraian luar mahkamah, konflik perebutan hak jagaan anak atau hak lawatan anak dan isu berhubung nafkah anak, pihak yang terbabit perlu mendapatkan nasihat perundangan syariah daripada peguam syarie yang bertauliah.

Menurutnya antara perkara lain yang perlu dirujuk juga adalah soal berkaitan kematian suami atau isteri atau waris yang membawa kepada tuntutan harta sepencarian atau faraid, selain keganasan domestik dalam rumah tangga.

Beliau berkata sebarang nasihat berkaitan perundangan boleh dirujuk menerusi aplikasi WhatsApp ke talian 011-3701-9155 atau emel ke [email protected].

“Mereka boleh mendapatkan senarai nama peguam syarie yang juga ahli-ahli PGSM mengikut negeri di laman sesawang www.pgsm.org.my,” katanya.

Musa berkata khidmat konsultasi yang diberikan melalui medium berkenaan adalah percuma, namun jika orang ramai ingin mendapatkan khidmat konsultasi lanjut, ia akan dipanjangkan kepada peguam syarie seramai lebih 700 ahli PGSM di seluruh negara yang berada dalam jarak 10 kilometer dari kediaman mereka.

-- BERNAMA