Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara sinis meminta Menteri Kewangan, Lim Guan Eng supaya jangan mengumumkan harga petrol mingguan pada hari Rabu kerana ia dikhuatiri akan ada yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) meniru Barisan Nasional (BN).

Sindiran Najib ini berikutan pengumuman kerajaan bahawa harga minyak runcit akan kembali ditetapkan secara mingguan bermula I Janurai 2019.

"Satu lagi saya nak pesan kepada Menteri Kewangan hari ini: Jangan umum harga petrol mingguan pada hari Rabu. Nanti ada orang kata copy-paste BN.

"Umum pada hari Selasa atau Khamis," tulis Najib di Facebooknya pada Selasa.

Najib turut mengajak orang ramai agar kembali mengingati ucapan Ahli Parlimen Petaling, Tony Pua yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan pada tahun 2014 ketika masih bergelar ahli parlimen pembangkang.

Dalam ucapan itu, Tony dilaporkan berkata langkah kerajaan melaksana kaedah apungan terkawal bagi penetapan harga petrol RON95 dan diesel bertujuan memungut cukai secara tersembunyi dari rakyat untuk menampung defisit bajet kerajaan.

Tony berkata, kerajaan BN ketika itu telah melakukan tindakan paling tidak beretika kerana mengenakan cukai tersembunyi keatas minyak.

Pada Isnin, dalam satu kenyataan, Guan Eng mengumumkan kerajaan kan kembali menetapkan harga minyak runcit secara mingguan bermula 1 Januari 2019 susulan penurunan harga minyak mentah global secara berterusan sejak kebelakangan ini.