Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menjangkakan Pakatan Harapan (PH) mempunyai peratusan peluang kemenangan yang sama dengan Barisan Nasional (BN) menerusi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Meskipun sedar akan berdepan dengan cabaran yang agak hebat, beliau tetap optimis calon PH, Dr. S. Streram mampu memberi saingan kepada Datuk Seri Mohamad Hasan daripada BN.

“Saya fikir peluang sama walaupun saya tahu kita akan berdepan dengan cabaran yang hebat dengan calon BN.

“Beliau sudah lama di sini, namun begitu dalam mana-mana pilihan raya pun terpulang kepada parti untuk bekerja bersungguh-sungguh untuk meyakinkan pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di pekarangan pusat penamaan calon di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Bandar Sri Sendayan hari ini.

BACA: PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru

Proses penamaan calon PRK Rantau diadakan hari ini sebelum proses undi awal pada 9 April dan hari mengundi pada 13 April.

PRK Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 Nov lepas, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi DUN itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), terbatal dan tidak sah.

Dalam PRU 14, Mohamad diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi itu selepas Dr Streram dilarang memasuki pusat penamaan calon untuk menyerahkan borang pencalonannya kerana tertinggal pas yang dikeluarkan SPR.

“Saya berharap pengundi-pengundi yang ada di sini akan sedar di peringkat negeri mahu pun Pusat PH jadi kerajaan walaupun ada pihak belum berpuas hati dan berasa tidak selesa.

“Itu perkara biasa, tapi lama kelamaan mereka akan faham dengan dasar Pakatan Harapan apa yang kita nak perjuangkan selepas diberi kepercayaan.

“Dalam tahun-tahun mendatang akan ada lebih banyak usaha akan dilakukan untuk rakyat bawah B40 dan isu kenaikan harga barang,” katanya.

Muhyiddin turut memberitahu PH sudah merangka banyak perancangan termasuk menyelesaikan beban hutang yang dibuat oleh kerajaan terdahulu.

“Hutang negara bertimbun-timbun. Pakatan Harapan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamed dan saya serta rakan-rakan lain, kami sudah tahu apa perancangan yang hendak dibuat,” jelasnya.