Keengganan UMNO dan PAS untuk meletakkan calon Melayu dan Islam bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai membuktikan mereka tidak mampu menahan ‘gertakan’ MCA, kata calon Pakatran Harapan (PH), Karmaine Sardini.

Dalam satu siri ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi Parit Kudus semalam, Karmaine yang juga
Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai berkata, senario itu sekali gus membuktikan tuduhan pembangkang bahawa DAP yang mengawal PH tidak benar sama sekali.

Ketika berucap di hadapan kira-kira 50 penduduk kawasan itu, Karmaine berkata, berbanding apa yang berlaku dalam Barisan Nasional (BN), komponen PH yang lain seperti DAP dan PKR langsung tiada bantahan ketika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhasrat untuk terus kekal di situ.

“Dulu saya dengar, dalam pergerakan Perpaduan Ummah, yang kuat dalam Barisan Nasional adalah UMNO dan PAS. Dia yang strong. MCA ada berapa (kerusi Parlimen)... satu sahaja. Nak singkirkan satu ini pun susah bila kena gertak dengan MCA.

“Jadi siapa tunggangan siapa? Selama ni dia (UMNO dan PAS) mahukan calon Melayu. Saya ni orang apa? Ini bukan soal perkauman, tetapi kawasan ini adalah majoriti Melayu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beberapa pemimpin kanan BN dan PAS mempertahankan keputusan mereka meletakkan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng sebagai calon, sambil menjelaskan ia membuktikan agenda Muafakat Nasional lebih komprehensif dalam mewakili kesemua kaum di negara ini.

Walaupun mereka akui majoriti di kawasan ini adalah Melayu, tetapi mereka percaya Wee, boleh mewakili kesemua kaum berdasarkan rekod beliau sebagai ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal berturut-turut.