Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menghadiri Pusingan Akhir Piala Seri Endon 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Ini merupakan acara ke-16 selepas kali pertama diadakan pada 2003.

Pada acara itu, pereka fesyen, Mohamad Shukri Che Ya menggondol Juara Piala Seri Endon bagi kategori fesyen mengalahkan 11 peserta lain.

Mohamad Shukri Che Ya muncul Juara Piala Seri Endon 2019 kategori fesyen

Sikap tidak putus asa menyebabkan beliau berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000.

"Ini adalah yang keempat saya menyertai pertandingan ini dan keempat layak ke final. Tahun ini merupakan tahun bertuah saya kerana menang kerana saya tunggu lama untuk menang ke tahap ini dan setiap tahun saya belajar apa juri mahukan.

"Inspirasi tahun ini ialah Ikat Pua di mana Ikat Pua adalah inspirasi tarian ngajat Pua Kumbu dan saya ambil motif pucuk midin," katanya kepada media selepas Pusingan Akhir Piala Seri Endon 2019 pada Ahad.

Manakala, tempat kedua dimenangi tiga pereka fesyen, NorFarhana Othman, Maizatul Azura Idris, dan Suziyana Shaidan.

Tempat ketiga digondol Wan Mohd Hafiz Wan Hamid.

Masing-masing membawa pulang wang tunai RM10,000 dan RM5,000.