Tindakan sebahagian sekolah yang menyembunyikan kes buli dengan tujuan menjaga reputasi mereka tidak akan membantu membendung gejala tersebut, kata Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.

Sebaliknya, beliau menasihatkan pihak sekolah termasuk pengetua dan guru agar segera membuat laporan sekiranya berlaku kes buli yang dilihat semakin buruk.

"Apa yang paling penting ialah kita perlu pastikan sekolah-sekolah jangan sembunyikan kes-kes buli walaupun sistem laporan telah disediakan tetapi saya tidak boleh nafi memang ada sekolah yang mungkin mahu jaga nama baik mereka.

"Akhirnya mereka tidak laporkan kebanyakan kes dan hanya jadi satu isu apabila ia mula menjadi tular," katanya selepas menghadiri program 'Kids Take Over Parliament' di Dewan Banquet Parlimen pada Rabu.

Seramai 40 pelajar sekolah yang berusia daripada 13 hingga 16 tahun hadir bagi mengemukakan pendapat mereka berhubung isu buli termasuk mereka yang pernah menjadi mangsa buli.

Pihak Kementerian Pendidikan akan menilai kesemua cadangan yang telah dikemukakan serta mengkaji semula garis panduan serta melaksanakan cadangan yang bersesuaian.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Terdahulu menerusi ucapan, Teo memaklumkan murid lelaki lebih terdedah kepada penderaan fizikal berbanding perempuan.