PIKOM gesa kerajaan tangani isu jejas pertumbuhan industri ICT

PIKOM gesa kerajaan tangani isu jejas pertumbuhan industri ICT
Industri ICT merupakan antara industri yang paling pesat berkembang di Malaysia. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) menggesa kerajaan agar segera menangani isu yang boleh memberi kesan jangka panjang kepada pertumbuhan industri ICT Malaysia.

PIKOM dalam satu kenyataan berkata dengan kerajaan baru mengemudi negara, penekanan dan masa perlu diberikan untuk melaksanakan inisiatif bagi pertumbuhan industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), serta menawarkan pelbagai faedah untuk sektor industri lain.

Persatuan itu berpendapat kini tepat pada masanya untuk membuat gesaan itu dengan implikasi positif dan penyelesaian praktikal untuk memastikan kurangnya gangguan kepada operasi perniagaan yang sedang berjalan.

Pengerusinya Ganesh Kumar Bangah berkata sebagai suara Industri ICT, PIKOM mahu penjelasan mengenai kebimbangan isu itu untuk faedah lebih 1,000 anggota persatuan yang menghasilkan 80 peratus kepada pendapatan industri, yang sebaliknya menyumbang 19 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

"Industri ICT juga merupakan antara industri yang paling pesat berkembang di Malaysia. Sepanjang tempoh menjadi Perdana Menteri sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad menekankan pentingnya teknologi untuk pertumbuhan negara, melalui inisiatif seperti Koridor Raya Multimedia (MSC).
"PIKOM ingin melihat penekanan ini diteruskan di bawah pentadbiran baru. Khususnya, kami ingin melihat pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) untuk produk ICT, status bebas cukai untuk syarikat berstatus MSC Malaysia serta pelaksanaan insentif modal teroka seperti yang diumumkan sebelumnya," katanya.

Menurut PIKOM, tiga perkara menjadi perhatian iaitu pengenalan semula SST, penggantungan permohonan status MSC Malaysia dan status insentif yang dibentangkan dalam Bajet 2018.

Mengenai pengenalan semula SST, persatuan itu berkata sebelum pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015, majoriti produk ICT termasuk komputer peribadi, pencetak, perkakasan, projektor dan produk multimedia berkaitan dikecualikan daripada SST.

Memberi rakyat Malaysia akses pada peranti ICT pada harga berpatutan adalah penting untuk membina ekonomi digital di negara ini dan industri ini akan berdaya saing di rantau ASEAN, kata PIKOM yang menyeru kerajaan agar memasukkan semua produk dan perkhidmatan ICT dalam senarai produk yang dikecualikan daripada SST berkuat kuasa 1 Sept, 2018.

Penggantungan permohonan status MSC Malaysia dan perubahan yang dijangka dalam Rang Undang-Undang Jaminan (BoGs) juga menjadi kebimbangan. BoGs ditakrifkan sebagai insentif, hak dan keistimewaan yang mencerminkan komitmen kerajaan untuk menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pembangunan syarikat-syarikat ini dan ekonomi digital.

"Oleh kerana BoGs dibangunkan untuk menarik pelaburan dalam sektor ICT, penggantungan berterusan untuk status MSC Malaysia akan mewujudkan persekitaran perniagaan yang tidak menentu dalam kalangan pelabur.

"PIKOM mahu kejelasan mengenai perkara ini memandangkan pertumbuhan berterusan industri ICT bergantung kepada persekitaran mesra pelaburan yang kondusif di negara ini," katanya.

Sementara itu, mengenai status insentif yang dibentangkan dalam Bajet 2018 bagi menggalakkan aktiviti modal teroka, masih belum disahkan.

"Keperluan untuk intervensi dan insentif untuk pelaburan dalam peringkat awal dan perniagaan peringkat pertumbuhan adalah penting untuk pembangunan syarikat pemula niaga untuk memastikan syarikat-syarikat ini berkembang sepenuhnya.

"PIKOM telah menganjurkan Platform SEA Dragon Venture yang pertama pada Mei tahun ini untuk memadankan pelabur dengan syarikat pemula niaga dengan jangkaan akan ada sokongan kukuh daripada kerajaan," katanya.

PIKOM berharap kerajaan akan menangani kebimbangan ini secepat mungkin untuk memberi kepastian kepada anggota PIKOM dan industri ICT, secara umumnya untuk memajukan perniagaan mereka.

-- BERNAMA