"Saya tidak dapat menahan sebak sewaktu melihat bapa mangsa yang juga rakan baik saya mengangkat mayat anaknya yang telah kaku tidak bernafas lagi."

Itu nada sedih Zuraini Hassan, 47, yang juga penjaga dusun lokasi dimana mayat Nur Damia Nadhirah Shahrudin, 5, ditemui mati terapung di dalam kolam tadahan air bersama seorang lagi rakannya Muhammad Rusyaidi Muhammad Na’am, 5, yang masih dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Mangsa dijumpai dan diangkat keluar dari kolam oleh bapanya, yang segera cuba mengeluarkan air dari tubuh anaknya.

"Mereka ada cuba menghubungi ambulans, tapi akhirnya mereka ambil keputusan untuk menghantar sendiri ke hospital," ujarnya.

Menurut Zuraini, jasad Nur Damia lebih awal ditemui daripada Muhammad Rusyaidi.

Nur Damia ditemui mati terapung di dalam kolam tadahan air manakala seorang lagi rakannya Muhammad Rusyaidi Muhammad Na’am, 5, masih dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Kedua-dua mangsa ditemui terapung dalam kolam tadahan air di Kampung Baru Padang Lalang, dekat Kuala Nerang kira-kira 50 meter dari rumah Zuraini sekitar jam 4.50 petang semalam.

Katanya, hubungan mereka sangat akrab malah Nur Damia Nadhirah bukan pertama kali datang ke situ malah kerap datang untuk bermain di rumahnya dalam dusun buah-buahan berkeluasan satu hektar itu.

Menurut seorang lagi rakan bapa mangsa Hazri Hassan, 50, segalanya berlaku terlalu pantas dan waktu itu dia sedang bersembang dengan bapa mangsa, Shahrudin Abdullah, 34, dan isterinya datang ke kawasan dusun terbabit.

"Bila nak bagi makan tu, abah dia keluar untuk memanggil namun kedua-dua kanak-kanak itu tidak ada. Puas dicari keliling rumah pun tiada.

"Lepas tu, bapanya tergerak hati nak pergi ke kolam. Sesampai saja di kolam itu dia nampak kasut terapung di permukaan kolam tersebut, lalu dia terus terjun ke dalam kolam untuk mendapatkan mangsa," ujar Hazri.

Tambahnya, selepas berjaya mengangkat kedua-dua mangsa, mereka cuba memberi bantuan pernafasan dalam usaha mengeluarkan air dari badan mangsa..

Kemudian, mereka bertindak menghantar kedua-dua mangsa ke Hospital Kuala Nerang (HKN) untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun sebaik tiba di HKN, doktor mengesahkan Nur Damia Nadhirah sudah meninggal dunia manakala Muhammad Rusyaidi pula masih tidak sedarkan diri akibat terlalu banyak minum air.

Mayat Nur Damia Nadhirah kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya pagi tadi.

Jenazah Nur Damia Nadhirah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Padang Lalang, pada jam 11 pagi tadi.

Sementara itu usaha untuk menemu bual ibu bapa mangsa gagal kerana mereka enggan ditemui kerana masih bersedih dengan apa yang berlaku.