Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesyorkan agar dasar dadah negara dipinda dan diubah suai bagi memastikan semua golongan pengedar akan terangkum dalam akta yang baharu.

Katanya, cadangan ini sudah dibawa ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan ketika ini dalam proses penelitian.

“Saya mahu mengesyorkan kepada kerajaan bahawa dasar dadah negara dipinda sedikit, diubah suai untuk memasukkan satu lagi penekanan kepada golongan pengedar.

“Ini akan melibatkan kos dan infrastruktur kerana apabila kita dipertanggungjawabkan untuk memberi perhatian kepada golongan pengedar, mungkin kita perlu mewujudkan pusat-pusat tahanan tambahan,” kata Khalid dalam satu sidang media di sini, pada Rabu.

Jelasnya, kes yang melibatkan pengedaran dadah di peringkat bawah biasanya tidak diambil tindakan di bawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas.

“Maka mereka bebas bergerak dan jika dihukum, ia tidak berat dan mereka bebas melakukan aktiviti. Saya rasa mereka perlu ditahan untuk satu tempoh yang lebih lama bagi menyekat kegiatan dadah ini daripada terus berleluasa.

“Apabila kita masuk sebagai salah satu strategi, kita perlu wujudkan pusat tahanan dan meminta mahkamah membicarakan kes ini dengan segera supaya kes ini dapat diselesaikan dan aktiviti golongan pengedar dadah ini dapat dibendung,” kata Khalid.

Sementara itu, Khalid berkata antara cabaran menangani isu dadah di dalam negara ini adalah mereka yang mengubah ciri dadah bagi mengelak dikenakan tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya.

“Apabila dadah itu dimasukkan sebagai satu dadah yang berdaftar dalam jadual Akta Dadah Berbahaya, ciri dadah itu akan perhalusi dan dijelaskan untuk tujuan perundangan.

“Jadi mereka ini akan mengubah ciri-ciri dadah supaya dapat mengelak daripada dikenakan sebarang tindakan,” kata Khalid.

Tambahnya, ini akan menyebabkan pihak berkuasa perlu menunggu dadah baharu dicipta sebelum dianalisis dan disyorkan agar diletak di dalam jadual Akta Dadah Berbahaya.