Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak serta bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy di mahkamah pada Rabu.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada Selasa, SPRM memberitahu, kedua-dua mereka bakal menghadapi pertuduhan bersama berhubung kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

"Namun begitu, bacaan pertuduhan tersebut akan dilakukan di Mahkamah Sesyen berasingan di Kompleks Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu, 12 Disember 2018, jam 8. pagi," jelas kenyataan berkenaan.

Pada Isnin, SPRM telah menahan Mohd. Najib bagi melengkapkan proses akhir siasatan, dan beliau kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM pada hari sama.

Arul Kanda pula ditahan pada jam 10.32 pagi Selasa ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi tujuan sama.