Pindaan Akta Kerja 1955 akan dibentangkan di Parlimen Mac tahun depan, kata Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran.

Beliau menjelaskan pindaan yang agak besar dilakukan terhadap akta tersebut yang kali terakhir dipinda pada 2013.

Katanya, kerajaan sudah dalam peringkat akhir pindaan selepas beberapa sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan dan pertubuhan bukan kerajaan, dan kini menunggu laporan akhir daripada jawatankuasa bebas sebelum meneruskan pembentangan.

“Sebagai seorang peguam, saya meneliti hasil kajian tersebut satu persatu, saya menelitinya setiap seksyen, kami telah melihat kesemuanya.

“Saya berpendapat hasil kajian itu kemungkinan akan dibentangkan pada bulan Mac nanti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN pada Rabu.

Ogos lalu, Kula Segaran mengumumkan kementeriannya akan mengkaji semula Akta Kerja 1955 bagi memastikan ia sesuai dengan situasi pekerjaan ketika ini.

Katanya, lapan perkara baharu juga sedang dipertimbangkan untuk dimasukkan di bawah akta berkenaan bagi memastikan ia lebih inklusif dalam melindungi kepentingan semua pihak termasuk golongan pekerja serta majikan.