Kementerian Pengangkutan sedang membuat pindaan terhadap kaedah ujian lesen memandu sedia ada bagi membolehkan sistem ujian pemandu kenderaan, e-testing, dapat dilaksanakan pada masa akan datang.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata kaedah sedia ada memerlukan seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berada di sebelah pelajar, namun menerusi e-testing proses tersebut akan dilakukan secara atas talian.

"Ini memberikan kelebihan kepada pihak JPJ dan kalau ada apa-apa pertikaian oleh pelajar tersebut, kita ada rakaman video. Ini satu perkembangan yang memang kita alu-alukan. Cuma di peringkat JPJ sekarang kita perlu membuat pindaan kaedah.

"Kaedah untuk ujian lesen memandu sedia ada, mesti kena ada penguji di sebelah pelajar. Itu yang kita nak buat pindaan kaedah.

"Kita harap dapat buat pindaan kaedah ini dalam masa terdekat," katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat sistem latihan dan ujian memandu berkomputer yang dibangunkan Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA), di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata kementerian akan meluluskan pelaksanaan sistem terbaharu itu selepas pindaan dibuat, bagaimanapun kerajaan tidak terburu-buru untuk melaksanakannya kerana ia terpulang kepada kesediaan dan kesiapsiagaan institut memandu dalam menyediakan sistem tersebut.


Di peringkat JPJ sekarang, kita perlu membuat pindaan kaedah


Loke berkata syarikat atau institut pemanduan yang mengemukakan cadangan pembangunan e-testing itu perlu melalui pelbagai proses sebelum mendapat kelulusan JPJ termasuk membuat permohonan JPJ untuk menggunakan sistem itu.

"Sekolah memandu mesti secara rasmi memohon kepada JPJ, mengemukakan bukti konsep, menjalankan ujian perintis, menjalankan ujian penerimaan pengguna dan ujian penerimaan akhir sebelum ia boleh diluluskan. Ia mesti memenuhi piawaian JPJ," tambahnya.

Beliau turut mengalu-alukan mana-mana syarikat atau institut memandu untuk mengemukakan cadangan sistem e-testing bagi mengelakkan sistem itu dimonopoli oleh satu pihak sahaja.

Menurutnya, buat masa ini sebuah institut memandu di Johor sedang melaksanakan projek perintis sistem e-testing.

-- BERNAMA