Sebarang pindaan ke atas senarai barangan yang dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (SST) akan beri implikasi terhadap sasaran kutipan hasil negara, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

"Tetapi pada saya, ia tidak akan memberi kesan dan impak yang besar, sebab itu kita perlukan masa untuk lihat implikasinya.

"Namun yang penting kita mahu rakyat masih mampu menikmati juadah yang mereka gemari selama ini dan tidak dihimpit oleh cukai ini," katanya pada sidang media mengenai pelaksanaan SST di sini, hari ini.

Beliau juga menjelaskan senarai barangan pada Panduan Mengenai Kadar Cukai Jualan Untuk Pelbagai Barangan bagi pelaksanaan SST akan disemak dan dipinda sehingga hujung tahun ini.

Guan Eng berkata, ini kerana senarai barangan tersebut adalah bersifat dinamik dan organik yang mana kajian berterusan akan dilakukan bagi menentukan impak kepada kutipan hasil kerajaan dan kesejahteraan rakyat.

"Buat masa ini senarai tersebut kita gunakan sebagai asas rujukan, namun kita boleh membuat pindaan mengikut keadaan.

"Ini supaya ada barangan yang kita rasa cukainya 10 peratus boleh dikurangkan kepada lima peratus atau daripada 10 atau lima peratus boleh kecualikan sama sekali...ini kita boleh pertimbangkan," katanya.

Guan Eng juga menjelaskan selepas tiga hari pelaksanaan SST, beliau secara peribadi mahukan harga barangan lebih rendah namun perlu terus berusaha untuk mencapai tujuan tersebut.

"Tapi yang penting adalah sekiranya ada kenaikan, saya bukan seperti kerajaan dulu yang cakap bahawa harga pasti akan turun, tetapi sekiranya ada kenaikan impak dan kesannya adalah kurang daripada separuh berbanding pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST)," katanya.

Ditanya adakah peniaga berhak menyaman kerajaan susulan isu tuntutan bayaran balik GST, menteri itu menjawab: "Perkara itu boleh ditanyakan kepada pihak peguam dan itu hak kamu (peniaga)".

"Tapi saya hairan kenapa sejak 2015 sehingga Mei 2018 anda tidak pernah saman kerajaan. Kenapa hanya sekarang anda mahu saman kerajaan ?

Adakah kerana anda lihat kerajaan sekarang sangat mesra dan boleh didekati jadi anda boleh saman?," katanya.

"Kalau peniaga boleh menunggu sejak dua tahun lalu, takkan tidak boleh tunggu lagi tiga bulan (tuntutan bayaran balik GST)," katanya.

Guan Eng sebelum ini memaklumkan bahawa tuntutan bayaran balik GST yang tidak dibayar kerajaan Barisan Nasional sejak 2015 akan dilunaskan kerajaan mulai tahun depan.

Pada sidang media itu Guan Eng turut mengumumkan bahawa semua makanan laut tidak akan dikenakan SST berkuat kuasa serta-merta.