MALAYSIA telah menerima pemindahan wang sebanyak AS$57 juta (RM236 juta) dari Amerika Syarikat (AS) yang didakwa diselewengkan dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Wang berkenaan disita dari syarikat penerbitan filem Red Granite Pictures milik anak tiri bekas Perdana Menteri, Riza Aziz yang didakwa menerbitkan filem menggunakan dana 1MDB.

Peguam Negara, Tommy Thomas yang mengesahkan perkara itu berkata, pemindahan pertama dana yang dipulangkan sebanyak AS$57,036,688.68 telah dikreditkan ke dalam akaun pemulihan aset 1MDB iaitu sebuah akaun amanah yang dibuka secara khusus untuk tujuan ini.

“Jumlah ini disita dari Red Granite Pictures, sebuah syarikat pembikinan filem yang berpangkalan di AS yang dikaitkan dengan mantan Perdana Menteri, Najib Razak dan anak tirinya, Riza Aziz dan lanjutan daripada penyelesaian sebanyak AS$60 juta yang direkodkan di Mahkamah California,” katanya.

Red Granite Pictures yang diasaskan oleh Riza pernah menerbitkan filem Hollywood antaranya "Wolf of Wall Street" yang dibintangi oleh Leonardo DiCaprio.

Filem berkenaan juga didakwa dibiayai dengan dana 1MDB yang diseleweng.

Sebagai sebahagian daripada penyelesaian, Red Granite Pictures bersetuju membayar AS$60 juta tanpa mengakui sebarang liabiliti atau salah laku.

Thomas berkata sejumlah AS$3 juta ditolak untuk membayar semula kos-kos yang telah dibelanjakan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) AS dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) untuk menyiasat, menyita, membicarakan dan mencapai peyelesaian untuk dana Red Granite.

“Juga termasuk dalam penolakan ini ialah kos-kos yang telah dibelanjakan oleh DOJ dan FBI untuk menyiasat, menyita dan memelihara Equanimity semasa kapal tersebut ditahan di perairan Indonesia sebelum dibawa ke perairan negara ini,” katanya.