Pinjaman mudah daripada kerajaan persekutuan akan dapat membantu kerajaan negeri Pulau Pinang melaksanakan projek Transit Aliran Ringan (LRT) dan projek lebuh raya Pan Island Link (PIL) di negeri itu secara serentak.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, bantuan kewangan itu dapat membantu kerajaan negeri menampung kos pembinaan pada fasa permulaan kedua-dua komponen di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) selain mengurangkan keperluan ke atas tanah seperti tebus guna tanah dan tambakan laut bagi pembiayaan projek berkenaan.

"Kalau boleh dapat satu 'bridging loan' (daripada kerajaan persekutuan) misal kata RM1 bilion maka kedua-kedua komponen itu iaitu LRT dan lebuh raya PIL dapat dilaksanakan serentak. Kalau tidak maka mereka cuma mampu untuk melaksanakan satu demi satu (projek).

"Satu projek akan memakan masa lima atau enam tahun dan kalau dua projek akan mengambil masa 12 tahun. Maka rakyat Pulau Pinang masih perlu tunggu lama untuk kedua-dua komponen yang penting ini," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Anggota Parlimen Pulau Pinang bagi pelaksanaan PTMP, di sini pada Ahad.

Beliau berkata pihaknya telah mengemukakan perkara itu dalam mesyuarat exco, bagaimanapun ia masih di peringkat awal untuk dibawa ke peringkat kerajaan persekutuan memandangkan kelulusan pelaksanaan projek berkenaan masih belum diperoleh.

Mengulas mengenai status terkini projek berkenaan, Chow berkata kebanyakan laporan sudah dikemukakan kepada pihak yang berkenaan dan masih menunggu kelulusan penuh.

"Untuk projek LRT kita masih memerlukan kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan sebab membabitkan rancangan 'rail'. Keduanya PIL pada ketika ini Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) telah pun diumumkan dan menunggu maklum balas dan perlu diluluskan juga.

"Ketiga komponennya ialah tebus laut itu pun masih menunggu kelulusan dan menjangkakan dengan apa yang kita kemukakan harap agensi persekutuan akan dapat memberi kelulusan menjelang akhir tahun ini," katanya.

Ditanya sama ada kelulusan akan mudah diperoleh memandangkan kerajaan negeri dan persekutuan berada di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, Chow berkata ia bukanlah jalan pintas untuk pihaknya mendapat kelulusan dengan mudah sebaliknya semua syarat teknikal yang diperlukan perlu dipatuhi sepenuhnya.

Mengenai bantahan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai projek itu, beliau berkata pihaknya akan menangani isu-isu setempat yang dibangkitkan dengan mengurangkan impak alam sekitar kepada kawasan tertentu dan ia akan diuruskan apabila fasa pembinaan bermula kelak.

PTMP ialah projek yang diusahakan kerajaan negeri Pulau Pinang dengan kos dianggarkan RM46 bilion. Ia melibatkan pembinaan terowong bawah laut yang menghubungkan bahagian pulau dengan tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta pengangkutan bas di sebelah pulau dan tanah besar. -- Bernama