Saksi ke-29, Amirul Imran Ahmat memberitahu Mahkamah Tinggi pada Isnin bahawa jumlah pinjaman RM4 bilion kepada SRC International Sdn Bhd merupakan pinjaman paling besar pernah diluluskan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

“Pinjaman RM4 bilion adalah pinjaman terbesar yang diluluskan KWAP sepanjang saya berkhidmat di situ,” kata Amirul yang merupakan bekas Penolong Naib Presiden di Jabatan Pendapatan Tetap KWAP.

Beliau juga memberitahu KWAP menerima resolusi daripada Lembaga Pengarah SRC International pada 14 March 2012 untuk mendapatkan pinjaman tambahan RM2 bilion untuk membiayai aktiviti pelaburan sumber asli dan bukannya untuk aktiviti pelaburan am.

Pada 22 Mac, saksi menerima emel daripada SRC International yang mengesahkan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku perdana menteri dan menteri kewangan telah membuat keputusan mengenai pembiayaan pinjaman tambahan itu.

Najib, selaku perdana menteri dan menteri kewangan pada ketika itu, menandatangani surat jaminan kerajaan bagi pinjaman tambahan berjumlah RM2 bilion oleh SRC International daripada KWAP.

Apabila menjelaskan mengenai dokumen perjanjian tambahan tersebut, saksi mengesahkan bahawa dokumen tersebut turut ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWAP, Datuk Azian Mohd Not dan Pengarah SRC International, Datuk Suboh Md Yassin.

Dalam pada itu, Amirul juga memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau di bawah tekanan apabila menyediakan kertas pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) untuk pinjaman RM4 bilion kepada SRC International Sdn. Bhd.

Amirul yang ketika itu bertugas sebagai Penolong Naib Presiden di Jabatan Pendapatan Tetap Kumpulan Wang Pensaran KWAP berkata beliau diminta oleh pihak pengurusan untuk mempercepatkan permohonan berkenaan.

“Saya diminta pihak pengurusan untuk mempercepatkan permohonan itu.

“Terdapat beberapa mesyuarat yang diadakan dalam tempoh masa yang pendek. Pada kebiasaanya, jika saya terlepas satu mesyuarat, saya boleh ke mesyuarat seterusnya. Namun, untuk kes ini, saya perlu perlu hadir ke setiap mesyuarat.

“Saya di bawah tekanan untuk percepatkan pemohonan tersebut,” katanya.