Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan kontraktor kelas G1 dan G2 menyambung semula kerja pengubahsuaian rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Presidennya, Datuk Azman Yusoff, keputusan itu memberi kelegaan buat para kontraktor dan setiap Prosedur Operasi Standard (SOP) serta garis panduan yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan dipatuhi.

Bagaimanapun ujarnya, PKBM memberi cadangan kepada kerajaan agar membenarkan ujian saringan kesihatan pekerja pembinaan dilakukan oleh konsortium terlatih kerana tidak mahu membebankan tugasan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika ini.

"Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) berasa lega dengan pengumuman oleh YB Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkenaan kebenaran operasi kepada projek pembinaan yang sudah mendapat kelulusan.

"Namun begitu, PKBM merasakan ujian saringan perlu diperbanyakkan kepada projek yang diluluskan memandangkan jumlah pekerja yang terlibat dalam sektor ini ramai. Berdasarkan laporan berita, daripada 19,000 permohonan, hanya 1,300 syarikat yang diluluskan. Ini bermakna semua 1,300 syarikat ini perlu menjalani saringan, kita percaya jumlah ini akan terus bertambah.

"Ini termasuk penggunaan kit ujian bagi menjalankan saringan ke atas semua pekerja pembinaan yang terlibat. Kit ujian yang digunakan mesti mendapat kelulusan KKM. Maknanya pihak konsortium boleh adakan dan mengumpul data pekerja serta menghantar rekod itu terus ke makmal untuk ujian sampel dijalankan," katanya dalam kenyataan media pada Rabu.

Menerusi inisiatif itu jelasnya, setiap kontraktor wajib menjalani saringan dalam membantu kerajaan mencegah penularan COVID-19.

Terdahulu, Menteri Kanan (Infrastruktur), Datuk Seri Fadillah Yusof dalam satu sidang media pada Rabu mengumumkan bahawa kontraktor kelas G1 dan G2 dibenarkan untuk beroperasi sepanjang PKP.

Kebenaran itu diberi agar kerja pengubahsuaian rumah pelanggan yang terpaksa diberhentikan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh disambung semula.