Tiga lelaki termasuk dua beradik yang dipercayai dalam perjalanan untuk mencuri haiwan ternakan ditahan polis selepas merempuh sekatan jalan raya Op COVID-19 di Bukit Bertam, Selama di sini.

Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Mohd Sabri Saad, berkata ketiga-tiga suspek menaiki sebuah kenderaan jenis Honda Civic cuba melarikan diri selepas merempuh sekatan pihanya bersama anggota tentera kira-kira jam 3.30 pagi Sabtu.

"Anggota polis kemudian mengejar kenderaan itu hampir 20 minit sebelum pasukan berjaya memaksa mereka berhenti di Jalan Batu 7, Selama.

"Tiga suspek berusia 25 hingga 27 tahun yang berada di dalam kenderaan itu berjaya diberkas.

"Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemukan beberapa senjata tajam, dipercayai peralatan melapah dan menyembelih haiwan ternakan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya, pihak polis tidak menolak kemungkinan kumpulan suspek itu cuba melakukan aktiviti jenayah mencuri haiwan ternakan ketika ditahan.

Ujarnya lagi, ketiga-tiga suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama untuk tindakan lanjut.

"Siasatan mendapati, suspek pertama mempunyai empat rekod lampau manakala suspek kedua yang merupakan saudara kandungnya memiliki sembilan rekod lampau termasuk curi kenderaan dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Suspek ketiga iaitu rakan mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan ketiga-tiga mereka direman sehingga 10 April bagi membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan 269 Kanun Keseksaan; Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Peraturan 7 (1) Peraturan-Peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 2020.