Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan dakwaan seorang lelaki dipukul anggota tentera ketika berada di luar rumah di Cheras Baru, di sini, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, tindakan berkenaan bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah mencemarkan imej pasukan keselamatan negara khususnya ATM.

Menurut beliau, semua anggota ATM yang ditugaskan sepanjang tempoh PKP berkenaan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Ini merupakan satu pembohongan dan fitnah daripada pihak yang tidak bertanggungjawab. Anggota ATM yang ditugaskan dalam PKP ini hanya menjalankan tugas mengikut SOP yang ada dalam menentukan rakyat dapat menjalani kehidupan yang baik dan selamat.

"Jikapun ada yang langgar PKP ini, kita akan kendali mengikut peraturan sedia ada yang ditetapkan kerajaan," katanya ketika ditemui selepas meninjau keadaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Menara City One, di sini pada Rabu.

Baru-baru ini, tular dalam media sosial satu nota suara dan sekeping gambar seorang lelaki cedera didakwa dipukul anggota tentera ketika sedang menelefon di luar rumahnya, di Cheras Baru.

Dalam pada itu, Affendi meminta agar semua pihak tidak menularkan berita-berita palsu yang boleh menjejaskan nama baik pasukan keselamatan negara.

"Saya berasa amat sedih dan kecewa ada segelintir masyarakat mengambil peluang untuk mencemarkan nama baik ATM dalam tempoh kawalan bagi memutuskan rantaian COVID-19.

"Sebagai anggota ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kami sentiasa mengambil kepentingan rakyat dan negara di hadapan demi memastikan semuanya selamat berikutan penularan wabak ini," ujarnya.