Mulai esok (3 Jun), satu Tatacara Temu duga Khas (TTK) akan menggantikan Kursus Pra Perkahwinan Islam bagi pasangan yang ingin berkahwin di negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan negeri Perak, Mohd Akmal Kamaruddin berkata kelonggaran itu diberikan bagi memudahkan bakal pengantin yang belum mengikuti kursus tersebut.

Bagaimanapun, katanya, TTK itu akan terbatal dengan sendirinya apabila tamat tempoh PKP.

Pemohon juga mestilah terdiri daripada mereka yang merancang untuk berkahwin dalam tempoh terdekat.

"Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan beri kelonggaran kepada pasangan yang ingin berkahwin dalam tempoh PKP.

"JAIPk akan mengambil beberapa pendekatan yang lain seperti Ujian Kefahaman dalam talian, selepas berakhir tempoh PKP.

"Urusan permohonan TTK akan diuruskan oleh Pejabat Agama Islam Daerah berkenaan di seluruh Perak, dan pemohon perlu hadir ke sana untuk ambil borang permohonan TTK," katanya pada satu sidang media khas di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin.

Ujarnya, antara syarat TTK ialah:

* pematuhan terhadap Enakmen Keluarga Islam (Perak) 2004;
* pemohon perlu memohon kebenaran berkahwin secara dalam talian di http://www.sppim.gov.my/sppim/online/benarnikahonline ; dan
* pemohon perlu mengemukakan nombor rujukan Benar Nikah Online serta tarikh majlis Akad Nikah dalam tempoh PKP.

Perkhidmatan sesi TTK adalah percuma dan bayaran RM5 secara tunai dikenakan bagi tujuan pengeluaran Sijil Kursus Pra Perkahwinan Islam.

Skop penilaian sesi temu duga itu terdiri daripada 10 soalan yang melibatkan aqidah, ibadah, akhlak, tanggungjawab suami isteri dan prosedur kekeluargaan.

Sesi temu duga khas itu akan dijalankan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah atau wakilnya.

Sementara itu, Mohd Yusop berkata pelaksanaan Kursus Pra Perkahwinan secara bersepadu akan disemak semula bagi pasca COVID-19.

"InsyaAllah, Perak akan mengkaji semula pelaksanaannya (kursus) secepat mungkin atau selepas PKP. Ada kemungkinan, manfaat kursus secara online lebih baik daripada kursus yang dihadiri. Kita akan pertimbangkan untuk memudahkan proses itu.

"Mungkin ada banyak faedah daripada menghadiri kursus selama dua hari dan akhirnya dapat sijil, tetapi dengan online ini, terdapat maklumat dalam modul yang disediakan dan mereka perlu jawab soalan. Ia lebih mudah," katanya.