Kerajaan memberi jaminan kepada ibu bapa agar tidak risau akan keadaan anak mereka yang masih berada di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebajikan para pelajar akan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dalam memastikan mereka terus kekal tenang di pusat pengajian masing-masing.

“Saya tahu dah lama mereka berada di sana, sudah lebih 14 hari dan ibu bapa mula resah tentang anak mereka bagaimana kedudukan dan kebajikan anak mereka.

“Kerajaan memberikan jaminan bahawa kita akan memastikan kebajikan anak mereka dan kita akan pastikan tiada isu besar yang berkaitan anak mereka,” katanya dalam sidang media harian di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri mengulangi pendirian bahawa segala kos sara hidup termasuk makan dan minum akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

“Jadi, ibu bapa jangan berasa gundah dan gulana. Serahkan kepada Kementerian Penggajian Tinggi, insya-Allah anak tuan-puan akan dijaga dengan baik,” ujarnya.


Dalam sidang media sama, Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa Kementerian Pengajian Tinggi bersetuju untuk melanjutkan tarikh tutup permohonan kemasukan pelajar termasuk univerisiti awam.

Keputusan itu dibuat mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilihat memberi kesukaran kepada pemohon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) untuk membuat permohonan.

“Permohonan UPU dalam talian untuk university awam, Institut Pendidikan Guru, Kolej Matrikulasi, Kolej Komunit dan Institusi Kemahiran Awam dilanjutkan kepada tarikh 17 April.

“Jadi, ini merupakan berita baik kepada pelajar-pelajar lepasan SPM dan STPM,” katanya.

Terdahulu, tarikh tutup permohonan ditetapkan pada 7 April.