Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memaksa masyarakat menggunakan platform atas talian untuk melakukan urusan harian namun ia juga membuka peluang kepada pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan dalam kesempitan.

Ini dapat dilihat menerusi jumlah kes jenayah siber di negeri Selangor sejak PKP dilaksanakan bermula 18 Mac hingga 15 April lalu yang menunjukkan peningkatan sebanyak sebanyak 53.80 peratus atau 283 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kontinjen Selangor, ACP Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, dalam keadaan ini orang ramai perlu lebih berhati-hati dalam mengendalikan situasi berkenaan sebelum menjadi mangsa penipuan.

“Orang ramai perlu lebih bijak dalam mengendalikan sebarang panggilan yang diterima dari mana-mana pihak yang mengakui Polis atau mana-mana agensi penguatkuasaan.

“Tiada sebarang bentuk panggilan memerlukan pendedahan nombor akaun dan butiran peribadi dan sekiranya ia berlaku pastikan panggilan diputuskan serta merta”, katanya Ketika siding media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

STATISTIK JENAYAH SIBER & MULTIMEDIA DI SELANGOR

Dalam pada itu pihaknya turut mengingatkan agar orang ramai tidak mudah terpedaya menerusi iklan di laman sosial berhubung pinjaman peribadi dan tidak sewenang-wenangnya memberikan nombor akaun bank dan nombor pin kepada pihak yang tidak dikenali.