Kebajikan 1,080 orang pelajar di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tetap terjaga ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berjalan.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USIM, Muhammad Danial Akmal Hamdan berkata, pihak universiti menyediakan makan sebanyak tiga kali, selain barangan keperluan seperti beras, telur dan sardin bagi pelajar yang menyewa di luar.

"Kami juga menerima bantuan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menerusi Yayasan Food Bank, malah ada juga sumbangan dari badan-badan bukan kerajaan (NGO).

"Untuk penambahbaikan, mungkin boleh difokuskan kepada sumbangan makanan kering seperti biskut, mi segera dan minuman instant kepada pelajar yang menyewa.

"Selain itu, mungkin bekalan barangan kesihatan seperti cecair pencuci tangan dan topeng muka boleh ditambah memandangkan inilah barangan yang sangat diperlukan," katanya ketika ditemubual menerusi Skype dalam Buletin AWANI.

Bagi sesi pembelajaran pula, Danial memaklumkan, pembelajaran atas talian bagi pelajar ijazah sarjana muda terpaksa ditangguhkan kerana hanya 70 peratus pelajar yang mempunyai akses internet.

"Kami ada melakukan tinjauan dan hasilnya kami mendapati 70 peratus pelajar ijazah sarjana muda yang mempunyai akses internet.

"Pembelajaran bagi pelajaran asasi pula sudah bermula pada 1 April lalu dan setakat ini, 90 peratus pelajar didapati hadir dalam kelas atas talian," katanya.