Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini menolak permohonan seorang pembantu kedai untuk menangguh hukuman penjara lima bulan terhadapnya selepas didapati bersalah menghina polis menerusi aplikasi Facebook pada 27 Mac lalu.

Hakim, Murtazadi Amran membuat keputusan itu selepas menganggap kesalahan tertuduh, Nursahira Mohd Mizuar, 20, adalah berat dan tiada alasan istimewa untuk beliau berbuat demikian.

Selain itu Murtazadi berkata tertuduh tidak pernah meminta maaf kepada polis dan menyesal atas perbuatannya.

Terdahulu, peguam yang mewakili tertuduh, Datuk Naran Singh memohon anak guamnya ditangguhkan hukuman penjara berikutan tertuduh tidak diwakili peguam semasa dijatuhi hukuman selain keluarganya tiada wang untuk membayar denda.

Bagaimanapun kes wanita terbabit menarik perhatian seorang usahawan yang bersimpati dan bersetuju untuk menanggung kos guaman tertuduh.

Justeru pihaknya akan memfailkan rayuan penangguhan hukuman ke Mahkamah Tinggi Alor Setar dalam tempoh terdekat.

Pada 31 Mac lalu, tertuduh dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM10,000 atau dua bulan penjara selepas didapati bersalah.

Bagaimanapun, tertuduh tidak membayar denda berkenaan dan Murtazadi mengarahkan hukuman ke atas tertuduh ditambah dua bulan.

Dalam kejadian 27 Mac lalu, tertuduh telah memuat naik status menghina polis selepas dikatakan marah dengan tindakan polis mengarahkannya pulang ke rumah ketika anggota terbabit melakukan pemantauan Ops COVID-19 di tepi jalan Pendang-Kobah, Batu Menunggul, di sini, kira-kira jam 9 malam.