Penderma darah kini boleh ke hospital dan klinik berhampiran kediaman mereka bermula jam 10 pagi hingga 10 malam berkuatkuasa serta merta walaupun berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mendapati bekalan Tabung Darah Negara berkurangan sejak PKP dikuatkuasakan bulan lalu.

"Mesyuarat hari ini dimaklumkan bahawa bekalan darah di Tabung Darah Negara berkurangan sebanyak 33 peratus sejak pelaksanaan PKP.

"Pusat Darah Negara telah memohon kebenaran untuk beroperasi dan membenarkan pergerakan penderma menderma darah," katanya dalam sidang media di Putrajaya pada Isnin.