Mereka yang berada di bandar tidak dibenarkan sama sekali untuk pulang ke kampung lebih-lebih lagi menjelang Ramadan, tegas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata, hanya mereka yang terkandas di kampung dibenarkan untuk membuat permohonan perjalanan pulang ke kediaman masing-masing termasuk di ibu kota.

Bagaimanapun katanya, perkara itu masih belum diputuskan dan perlu dibincang dengan semua pihak termasuk Kementerian Kesihatan (KKM).

"Ada yang keliru... yang ada di bandar mahu balik ke kampung tidak dibenarkan sebab ramai akan balik ke kampung untuk sambut Ramadan. Jadi tidak boleh ada pergerakan dari bandar ke kampung buat masa ini.

"Yang saya sebut semalam, mana-mana pihak yang terperangkap di kampung selepas kerajaan melaksanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak dua bulan lalu. Ini yang kita (mungkin) benarkan," katanya dalam sidang media harian pada Khamis.


Jelas Ismail Sabri, mereka yang mahu melakukan perjalanan luar daerah itu perlu membuat permohonan menerusi aplikasi GerakMalaysia atau ke balai polis berhampiran bermula 25 April ini.

"Tujuannya adalah untuk kita dapat kumpul maklumat yang jelas berhubung jumlah mereka yang ingin melakukan pergerakan dari kampung ke Kuala Lumpur atau mana-mana bandar lain.

"Selepas kita dapat, kita akan serahkan kepada KKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk berbincang. Kita jangka paling lewat kita dapat maklumat daripada PDRM pada 1 Mei ini.

"Sekiranya semua pihak bersetuju untuk benarkan pergerakan ini, kita akan sediakan prosedur operasi standard (SOP) ketat bagaimana cara nak pastikan tiada pergerakan yang besar ke ibu kota," jelasnya.