Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di negara ini berjaya menurunkan kadar jangkitan COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata satistik Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan bahawa kadar jangkitan dalam kalangan warganegara semakin rendah dan terkawal.

Sebaliknya, jelas beliau kebanyakan kes yang dicatatkan sejak kebelakangan ini adalah kes import dan kes-kes melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) di depoh-depoh tahanan Imigresen.

“Kita bersyukur kerana tindakan pantas para petugas barisan hadapan telah berjaya membendung penularan COVID-19 dalam kalangan tahanan di depoh imigresen dan keadaan pada masa ini adalah terkawal,” katanya Perutusan Khas Perdana Menteri Perintah Kawalan Pergerakan, pada Ahad.

Selain itu, jelas beliau kapasiti perubatan dan kesihatan awam negara turut berada pada tahap yang lebih baik dan meyakinkan.

Tambah beliau, perkara itu sekali gus menunjukkan Malaysia telah berjaya membendung penularan COVID-19 dengan berkesan dan sedang memasuki fasa pemulihan ketika ini.

“Saya nak mengucapkan syabas kepada para petugas barisan hadapan dan anda semua yang telah menyumbang kepada kejayaan kita membendung wabak COVID-19.

“Kejayaan ini adalah kejayaan anda semua. Anda telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang PKP dan PKPB dilaksanakan,” ujar beliau.