Semua premis perniagaan yang menjual barangan keperluan termasuk pasar raya serta stesen minyak hanya dibenarkan beroperasi bermula jam 8 pagi hingga 8 malam pada Fasa Kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peraturan itu akan mula berkuat kuasa pada 1 April ini.

"Mesyuarat pagi ini membuat keputusan bahawa waktu operasi bagi pasar raya, pasar raya besar dan mana-mana premis menjual barangan keperluan makanan ialah bermula jam 8 pagi hingga 8 malam.

"Bagi restoran, walaupun dibenarkan untuk bungkus dan bawa pulang namun waktu operasi ditetapkan adalah jam 8 pagi hingga 8 malam, stesen minyak juga begitu," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, katanya semua aktiviti di rumah ibadat di seluruh negara masih lagi tidak dibenarkan pada Fasa Kedua PKP.

"Sama sahaja, rumah ibadat masih lagi kita tak dibenarkan, solat Jumaat juga, solat berjemaah juga tidak dibenarkan. Bukan sahaja (aktiviti) di masjid, tetapi untuk semua agama.

"Gereja tidak dibenarkan mengadakan himpunan atau aktiviti secara berkumpulan. Kuil Hindu, tokong dan sebagainya, ia merangkumi semua agama dan bukan untuk Islam semata-mata," tambahnya.