Orang ramai nampaknya masih tidak berputus asa untuk pulang ke kampung halaman apabila sebanyak 1,243 kenderaan telah diarah berpatah balik ketika cubaan merentas negeri pada sambutan Syawal pertama, semalam.

Menteri Kanan (KKuster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan berbanding pada Sabtu iaitu 1,158 kes rentas negeri.

Jelas beliau, negeri Selangor kekal mencatatkan kes rentas negeri tertinggi dengan 685 kes, diikuti Negeri Sembilan dan Pahang dengan masing-masing 133 dan 72 kes.

"Polis pastinya akan mengambil tindakan yang keras terhadap mereka yang cuba merentas negeri tanpa kebenaran termasuk mengenakan kompaun.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan 214 kompaun di sekatan jalan raya dan PDRM juga mengeluarkan 14 kompaun terhadap mereka yang dikesan rentas negeri dan berada di kampung halaman masing-masing," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Ahad.

Setakat semalam, Ismail Sabri berkata PDRM turut menahan 470 individu, 87 ditahan reman sementara 23 individu diikat jamin atas kesalahan melanggar Prosedur Operasi Standar (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dalam pada itu, sebanyak 162 sekatan jalan raya (SJR) rentas sempadan negeri telah diadakan dengan 127,552 kenderaan diperiksa di seluruh negara.