Sebanyak 148 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri telah dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara pada Isnin.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam operasi tersebut, sebanyak 283,677 kenderaan telah diperiksa berbanding 147,327 pada hari sebelumnya.

"Sebanyak 229 kenderaan diarah berpatah balik atas cubaan rentas negeri tanpa kebenaran.

"Antara negeri tertinggi merekodkan cubaan rentas negeri adalah Melaka (70 kes), Selangor (53 kes) dan Negeri Sembilan (49 kes). Maknanya masih ada yang cuba merentas negeri sama ada nak balik menyambut hari raya atau sebaliknya," kata beliau dalam sidang media harian, di sini pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata PDRM turut mengenakan kompaun kepada 248 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), setakat semalam.

Jelas beliau, seramai 33 individu turut ditahan, dengan 30 daripada mereka direman manakala tiga lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya, bagaimanapun, tiada sebarang kompaun dikeluarkan pada Isnin atas kesalahan membabitkan ziarah Aidilfitri.

"Saya berharap supaya semua rakyat patuh kepada setiap SOP (prosedur operasi standard) dan arahan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan," ujarnya lagi.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata sebanyak 266 kertas siasatan berhubung berita palsu berkaitan COVID-19 dibuka oleh PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), setakat Isnin.

Daripada jumlah tersebut, katanya sebanyak 179 masih dalam siasatan, 30 kes telah didakwa di mahkamah, 11 diberi notis amaran manakala 18 mengaku bersalah.

"Tiada pertambahan kertas siasatan baharu oleh polis dan SKMM dalam tempoh seminggu yang lepas.

"Alhamdulillah kalau ini merupakan gambaran tentang kesedaran rakyat yang meningkat dan mematuhi perintah serta larangan kerajaan... saya harap ini berita baik iaitu tiada siasatan baharu dibuka atas kesalahan berita palsu COVID-19," katanya.