Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar semua acara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda ditangguhkan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka Baginda bertitah demikian susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

"Sebaliknya baginda mengajak rakyat untuk bersama berdoa agar Malaysia terus dilindungi dan dirahmati agar wabak ini dapat diakhiri dengan segera," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ahmad Fadil berkata Al Sultan Abdullah turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada petugas barisan hadapan di atas pengorbanan dan komitmen yang dicurahkan mereka dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19.

"Rakyat diseru agar terus bersabar dan berdisiplin dengan tatacara serta amalan kebiasaan baharu dan mematuhi semua perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan.

"Disiplin rakyat ialah kunci utama yang akan menentukan kemenangan negara memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19," ujarnya lagi.