Kerajaan membenarkan bas sekolah untuk membawa pekerja kilang ke tempat kerja, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata kebenaran itu bagi membantu pengusaha-pengusaha bas sekolah yang mengalami kerugian sepanjang penutupan sekolah susulan penularan wabak COVID-19 di negara ini.

“Kita faham pengusaha bas sekolah ini mengalami kerugian kerana tiada pendapatan hasil daripada perkhidmatan yang diberikan saelama ini.

"Jika dahulu bas kilang beroperasi dengan kapasiti penuh, sekarang kapasitinya separuh dan tidak cukup untuk menghantar pekerja tepat pada masa kerana tidak boleh hantar serentak ,mungkin perlu membuat dua pusingan atau tiga pusingan.

“Jadi Kementerian Pengangkutan sudah buat keputusan supaya bas kilang boleh menggunakan bas sekolah untuk menghantar pekerja kilang.


“Ini bagi membantu pengusaha bas-bas sekolah yang tiada pendapatan dengan menukarkan bas mereka menjadi bas kilang sewaktu sekolah masih ditutup," katanya pada sidang media di Putrajaya pada Rabu.

Katanya, pengusaha bas sekolah tidak patut mengenakan bayaran tambang bas kepada ibu bapa kerana buat masa ini, tiada perkhidmatan yang disediakan sepanjang penutupan sekolah.

Dalam perkembangan yang lain, beliau berkata kerajaan menerima aduan berhubung kenaikan harga tambang pengangkutan awam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, Kementerian Pengangkutan juga memaklumkan bahawa harga tiket penerbangan juga terlalu tinggi sehingga dua kali ganda.

“Kami mendapat rungutan daripada pengusaha kenderaan awam kerana mereka terpaksa mengurangkan separuh daripada kapasiti penumpang sebenar.

“Kami juga difahamkan harga tambang pengangkutan udara ke London untuk tiket kelas ekonomi adalah RM8,000 tetapi kebiasaannya, tambangnya kurang daripada itu,” ujarnya.

Oleh itu, katanya, Kementerian Pengangkutan akan membentangkan cadangan untuk mengatasi masalah tersebut pada mesyuarat dalam tempoh terdekat.