Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah melihat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memberi lebih ruang pergerakan kepada kanak-kanak berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Antara lain, ia memberi sedikit kebebasan kepada kanak-kanak di flat atau rumah pangsa untuk bergerak di sekitar perumahan itu demi perkembangan mereka.

"Sejak 4 Mei kita sudah laksanakan langkah-langkah kelonggaran. Kelonggaran termasuk kanak-kanak di flat dan rumah pangsa untuk turun.

"Kita telah lihat dan dari 4 Mei sampai sekarang, kita telah berjaya guna kaedah PKPB dan kaedah yang kita tak nampak peningkatan kes selepas pelaksanaaan PKPB.

"Jadi kalau kita bandingkan dua kaedah PKP dan PKPB. PKP lagi tepat dari segi keberkesanannya untuk kurangkan kes. Tetapi PKPB walau tidak seperti PKP, ia tak meningkatkan lagi kes menjadi tinggi," katanya dalam sidang media harian di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, katanya semua pihak perlu mengambil berat kebimbangan KKM terhadap peningkatan kes COVID-19 selepas musim perayaan.

"Jadi kita lihat kebimbangan musim perayaan sebab data luar negara menunjukkan apabila lepas musim perayaan kita akan melihat peningkatan kes yang mendadak .

"Jadi kita kena kurangkan dan mencegah peningkatan kes mendadak. Ia bukan hanya tanggungjawab KKM, tetapi semua kena patuh SOP yang ditetapkan semasa perayaan," ujar beliau.