Memasuki sebulan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), jumlah pemeriksaan kenderaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan peningkatan kepada 290,432 setakat Rabu berbanding 267,373 kenderaan pada hari sebelumnya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemeriksaan tersebut hasil daripada 140 sekatan jalan raya rentas negeri di seluruh negara dalam tempoh 24 jam.

Antara negeri yang mencatatkan cubaan rentas negeri yang tertinggi katanya adalah Kedah dengan 66 kes diikuti Selangor (25 kes) dan Melaka (14 kes).

"Pasukan keselamatan juga telah mengarahkan 111 kenderaan untuk berpatah balik ketika cuba merentas negeri tanpa kebenaran," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya di sini, pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata, pasukan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 74,901 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPB.

Selain itu, beliau menambah, PDRM turut menahan 31 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPB.

Daripada jumlah itu katanya, seramai 26 individu direman manakala lima individu lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

"PDRM turut mengeluarkan kompaun kepada 93 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan PKPB," jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terus melakukan proses sanitasi dan nyah kuman di seluruh negara dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19.

Menurut beliau, setakat Rabu, sebanyak 7,532 operasi sanitasi yang merangkumi 132 zon telah dijalankan.

Katanya, sebanyak 11,065 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,644 pusat perniagaan, bangunan kerajaan (4,150), kawasan perumahan (1,583) termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), tempat awam (2,336) dan pasar raya (352).

"Semalam sebanyak 43 operasi sanitasi yang meliputi 37 zon di 12 negeri antaranya di Sabah (11 operasi) Johor (lapan operasi) dan Melaka (empat operasi)," katanya.