Jumlah pemeriksaan kenderaan yang diperiksa oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan penurunan kepada 267,373 setakat Selasa berbanding 283,677 kenderaan pada hari sebelumnya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemeriksaan tersebut hasil daripada 138 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri yang diadakan di seluruh negara.

"Sebanyak 93 kenderaan diarah patah balik atas cubaan rentas negeri tanpa kebenaran.

"Antara negeri yang mencatatkan cubaan rentas negeri yang tertinggi adalah: Pahang iaitu 38 kes; Melaka (27 kes); dan Selangor (24 kes)," kata beliau dalam sidang media harian, di sini pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata, pasukan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 76,348 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Selain itu, beliau menambah, PDRM turut menahan 56 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPB.

Daripada jumlah tersebut, seramai 46 individu direman, manakala 10 individu lagi diberi jaminan polis.

"PDRM turut mengeluarkan kompaun kepada 88 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan PKPB.

"Tiada kompaun dikeluarkan atas kesalahan ziarah Aidilfitri. Oleh itu, sekali lagi saya mengingatkan semua rakyat agar mematuhi SOP dan peraturan yang ditetapkan," katanya.

Sementara itu, kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terus melakukan proses sanitasi dan nyahkuman di seluruh negara dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19.

Menurut Ismail Sabri, setakat Selasa, sebanyak 7,469 operasi sanitasi yang merangkumi 132 zon telah dijalankan.

"Sebanyak 10,996 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,643 pusat perniagaan, 4,088 bangunan kerajaan, 1,581 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,332 tempat awam dan 352 pasar raya.

"Semalam sebanyak 43 operasi sanitasi yang meliputi 37 zon di 12 negeri antaranya di Sabah (11 operasi); Johor (lapan operasi);dan Melaka (empat operasi)," katanya.