Jumlah kenderaan yang diperiksa oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan penurunan kepada 277,002 setakat tengah hari Jumaat, berbanding 290,432 pada hari sebelumnya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menerusi satu kenyataan berkata, pemeriksaan tersebut dibuat dalam 133 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri di seluruh negara.

“Sebanyak 37 kenderaan diarah patah balik atas cubaan rentas negeri tanpa kebenaran.

"Antara negeri yang mencatatkan cubaan rentas negeri yang tertinggi ialah Melaka iaitu 16 kes, Negeri Sembilan (sembilan) dan Pahang (lapan),” kata Ismail Sabri dalam satu kenyatan media pada Jumaat.

Dalam perkembangan yang sama, Ismail berkata Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 75,186 pemeriksaan pada Khamis bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau juga berkata PDRM telah menahan 67 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPB.

“Daripada jumlah itu, seramai 66 individu direman manakala 1 individu dibebaskan dengan jaminan polis.

“PDRM turut mengeluarkan kompaun kepada 144 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan PKPB. Tiada kompaun dikeluarkan atas kesalahan ziarah Aidilfitri,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melakukan 7,609 operasi sanitasi merangkumi 132 zon setakat Jumaat.

“Sebanyak 11,135 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,645 pusat perniagaan; 4,212 bangunan kerajaan; 1,583 kawasan perumahan termasuk PPR; 2,343 tempat awam dan 352 pasar raya.

“Semalam (Khamis) sebanyak 77 operasi sanitasi dilakukan di 50 zon membabitkan 12 negeri antaranya Sabah sebanyak 14 operasi, Melaka (14) dan Sarawak (13)," katanya.