Rakyat seharusnya tidak membuat kenyataan negatif terhadap keputusan kerajaan yang membenarkan hampir semua aktiviti ekonomi beroperasi secara terkawal dan berhati-hati menjelang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula 4 Mei ini.

Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee menegaskan, keputusan kerajaan itu adalah yang terbaik selepas hampir dua bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara sebelum ini.

“Tetapi, ada juga berasa tidak selesa dan kurang gembira dengan PKPB kerana bimbang mangsa jangkitan virus COVID-19 akan kembali meningkat.

“Semua harus faham, tindakan kerajaan itu dibuat hasil kajian dan perbincangan mendalam bersama kementerian berkaitan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mencari jalan mengimbangi keperluan memulihkan ekonomi negara dan kepentingan membendung wabak tersebut.

“Dengan pengenalan PKPB itu, sebahagian besar sektor ekonomi dan perniagaan akan kembali beroperasi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya, pada Sabtu.

BACA: PKPB: Hampir semua aktiviti ekonomi dibenarkan bermula 4 Mei ini kecuali...

BACA:
Negara rugi RM2.4 bilion sehari sepanjang PKP - Perdana Menteri

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kebenaran itu tertakluk kepada syarat-syarat SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Perdana Menteri berkata, aktiviti-aktiviti sukan yang melibatkan perhimpunan ramai, sentuhan badan dan lain-lain risiko jangkitan turut tidak dibenarkan, setakat ini.

Dalam pada itu jelas Syed Ali, rakyat juga pastinya bergembira untuk kembali bekerja setelah kehilangan pekerjaan dan terputus mata pencarian.

Selain rakyat ujarnya, negara juga turut terkesan akibat pandemik COVID-19 apabila mengalami kerugian sekitar RM2.4 bilion setiap hari sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

“Kita tahu pelaksanaan PKPB ini mendapat pelbagai reaksi. Walaupun ramai menzahirkan sokongan serta memahami keputusan dibuat kerajaan, namun tidak kurang juga menyatakan kebimbangan, langkah itu akan menyebabkan kes positif COVID-19 kembali meningkat.

“Sebagai rakyat, kita perlu lebih berhati-hati dan sentiasa berwaspada kerana jangkitan wabak COVID-19 boleh menyapa dan kembali merebak jika terlalu ramai manusia di lapangan.

“Ambillah iktibar dan pengajaran apa yang berlaku di Jepun, yang terlalu awal buat kelonggaran tapi terpaksa 'lockdown' semula kerana penularan virus COVID-19,” tegasnya.