Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan aktiviti memancing di kolam tidak dibenarkan kerana ia membabitkan perhimpunan ramai orang.

Beliau berkata, justeru aktiviti berkenaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan boleh dikenakan tindakan.

"Biarpun memancing dianggap sebagai aktiviti riadah, namun apabila melibatkan perhimpunan orang ramai seperti memancing di kolam, ia tidak dibenarkan.

“Ia (kolam) tidak seperti tasik yang besar, jadi boleh amalkan penjarakan sosial di sana.

“Di kolam, ramai yang berhimpun. Apa sahaja aktiviti yang menyebabkan orang ramai berhimpun, ia termasuk dalam senarai aktiviti dilarang dalam tempoh PKPB ini.



“Kalau seorang senyap-senyap memancing di tepi sawah, tepi tasik (dan seumpamanya), tiada siapa yang akan tangkap,” katanya pada sidang media di Putrajaya pada Rabu.

Pada Selasa, polis menahan dan mengkompaun 59 pemancing di sebuah kolam pancing ikan di Hulu Selangor kerana melanggar SOP PKPB.