Golongan bujang masih tidak terkecuali daripada daripada larangan melakukan pergerakan rentas negeri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan terutamanya menjelang sambutan perayaan Aidilfitri akan datang.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada sebarang kelonggaran yang diberikan kepada individu bujang untuk melakukan pergerakan tersebut dan pengecualian hanya diberikan kepada pasangan suami isteri.

“Atas perikemanusiaan kita hanya benarkan pasangan suami isteri yang dah dua bulan tidak berjumpa anak mereka ketika PKP.

“Kita minta bagi mereka yang bujang bersabar dulu, kita faham ada yang rindu ibu bapa mereka dan buat masa ini tiada sebarang kelonggaran dibuat jadi perlu patuh pada undang-undang sedia ada,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain beliau turut memaklumkan sekatan pihak polis masih lagi dilaksanakan melibatkan kawasan tol bagi laluan masuk setiap negeri dan hanya bagi mereka yang mendapat kebenaran pihak polis dibenarkan untuk melakukan pergerakan rentas negeri.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa pasangan suami isteri yang tinggal di negeri berasingan kerana faktor kerja akan diberi kelonggaran untuk membuat perjalanan rentas negeri.

Bagaimanapun, perjalanan rentas negeri tersebut terhad untuk seminggu sekali sahaja dan individu terbabit perlulah mengemukakan permohonan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapat kebenaran melakukan perjalanan merentas negeri.