Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

PKPB: Polis Pulau Pinang keluar 55 notis kompaun rentas negeri

PKPB: Polis Pulau Pinang keluar 55 notis kompaun rentas negeri
Polis mengesan cubaan rentas negeri tanpa kebenaran dan mengarahkan mereka berpatah balik selepas dikompaun. Gambar fail/ Bernama
GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 55 notis kompaun terhadap individu  yang cuba merentas negeri itu pada hari pertama Aidilfitri.

Ketua Polis Negeri, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, kesemua kenderaan itu diarah berpatah balik selepas mereka gagal mengemukakan alasan munasabah untuk merentas negeri.
"Kita dapati, masih ada yang mahu merentas negeri secara curi-curi untuk pulang ke kampung sempena Aidilfitri dengan melalui laluan tikus, malah ada yang menggunakan lebuh raya dengan harapan alasan mereka diterima pihak berkuasa.

"Bagaimanapun tindakan pantas anggota kita di sekatan jalan raya di banyak lokasi strategik berjaya menyekat percubaan mereka," katanya kepada Astri AWANI di sini pada Selasa.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Sahabudin berkata, sebanyak 500 buah rumah telah diperiksa pihaknya ketika rondaan dari rumah ke rumah pada hari kedua Aidilfitri.

Katanya, setakat Isnin, pihaknya belum mengeluarkan sebarang kompaun bagi kesalahan berkaitan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) sambutan hari raya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sahabudin berkata, berdasarkan rondaan dan pemantauan dilakukan anggotanya, beliau mendapati rakyat di negeri ini mematuhi SOP dan tidak melakukan aktiviti ziarah hari raya melainkan rumah ahli keluarga dalam bilangan yang kecil.

"Semasa rondaan, anggota polis mendapati ada beberapa kediaman mempunyai banyak kereta di perkarangan rumah, namun  selepas diperiksa ia melibatkan kenderaan ahli keluarga sahaja," katanya.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan aktiviti ziarah sempena Aidilfitri dihadkan pada hari raya pertama sahaja membabitkan ahli keluarga terdekat serta tidak boleh melebihi 20 orang pada satu-satu masa.