Bermula 4 Mei ini, Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) akan memanjangkan tempoh waktu puncak sebelah pagi, iaitu bermula 7 pagi hingga 11 pagi bagi membantu melaksanakan inisiatif penjarakan sosial dalam kalangan penggunanya.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Muhammad Nizam Alias berkata, mereka juga akan menempatkan petugas di pintu masuk, serta di platform untuk perkhidmatan tren dan bas, bagi memastikan penumpang mengamalkan disiplin sosial.

Bagaimanapun, ujarnya lagi, perkara itu memerlukan kerjasama erat dari penumpang, dalam usaha memastikan penularan wabak COVID-19 di kalangan masyarakat dapat terus di kawal sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

“Kemasukan pelanggan ke stesen akan dikawal di pintu masuk, seterusnya di platform untuk kemasukan ke dalam tren. Jadi kita boleh jangkakan kelewatan di mana ia disebabkan oleh penjarakan sosial. Ini akan menyebabkan kesesakan di pintu masuk stesen.

“Normal baharu ini telah pun kita lalui sepanjang tempoh PKP. Sebagai contoh, apabila kita ingin memasuki pasar raya kita perlu beratur dan menunggu sebelum giliran kita dapat membeli barangan. Perkara yang sama juga saya jangkakan akan berlaku di stesen-stesen LRT, dan juga di perhentian bas,” katanya lagi.

Bagi mengurangkan kesesakan, tempoh waktu puncak sebelah pagi untuk tren dan bas akan dipanjangkan dari 7 pagi hingga 11 pagi.

Muhammad Nizam berkata, Prasarana berharap agar pihak majikan juga dapat mengikuti seruan kerajaan untuk menyediakan jadual anjal untuk pekerja masing-masing, sekali gus dapat mengurangkan kesesakan di kesemua stesen tren dan bas.

Bagi mengurangkan kesesakan, tempoh waktu puncak sebelah pagi untuk tren dan bas akan dipanjangkan dari 7 pagi hingga 11 pagi.

Dalam pada itu, beliau akui tahap penggunaan perkhidmatan tren dan bas Prasarana telah menjunam melebihi 90 peratus sejak hari pertama pelaksanaan PKP.

Namun, ujarnya lagi, Prasarana berharap angka itu akan meningkat secara perlahan-lahan, dan akan mengambil masa yang panjang untuk sampai kek tahap seperti mana sebelum pelaksanaan PKP.

“Namun begitu apa yang penting ialah untuk meningkatkan keyakinan orang ramai, bahawa menggunakan public transport masih lagi selamat. Dan atas itu kami akan meneruskan kerja-kerja pembersihan yang lebih kerap, kepada aset-aset kami.

“Kami juga menyeru supaya orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan mematuhi arahan para petugas yang berada di stesen dan juga platform. Dan mereka juga digalakkan untuk memakai topeng muka supaya jangkitan ini dapat dihalang,” katanya lagi.