“Jangan anggap anda terlepas, kami akan cari anda pada hari raya," kata Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin.

Beliau memberi amaran pihaknya akan mengadakan gerakan mencari individu yang merentas negeri tanpa kebenaran untuk pulang menyambut Aidilfitri di daerah berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya tidak teragak-agak mengheret invidu yang dikesan melakukan kesalahan itu ke balai polis walaupun pada hari pertama Aidilfiti.

"Pasukan pemantau khususnya dalam daerah Kota Setar akan membuat rondaan pada hari raya pertama sehingga ketiga untuk memastikan tidak ada pergerakan rentas negeri untuk menyambut hari raya di kampung masing masing.

"Pegawai dan anggota kami akan membuat pemeriksaan mengejut ke kediaman yang mempunyai bilangan kenderaan yang meragukan.

"Selain itu pasukan ini juga akan memastikan tiada aktiviti orang ramai berkumpul lebih 20 orang dalam sesebuah rumah menyambut hari raya," katanya di sini, pada Jumaat.

Menurut Mohd Rozi, pada musim perayaan ini, kawalan di pintu-pintu masuk sempadan daerah terutama di plaza tol turut akan diperketatkan.

Dalam pada itu, Mohd Rozi memaklumkan, pihaknya turut menempatkan pasukan pemantau di pasar raya dan pasar-pasar awam di negeri ini sepanjang musim perayaan ini bagi memastikan kesemua peniaga dan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Tegas beliau, individu yang dikesan ingkar terhadap arahan pihak berkuasa juga akan diberikan kompaun tanpa menerima sebarang alasan.