Kerajaan negeri Terengganu mengambil pendekatan sama seperti di beberapa buah negeri lain untuk membenarkan pelaksanaan solat Jumaat bermula 22 Mei depan.

Menerusi kenyataan diedarkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), kelonggaran itu juga hanya membenarkan satu masjid untuk satu daerah sahaja sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

MAIDAM berkata, selain bilangan ahli jemaah tidak melebihi 40 orang, beberapa syarat lain juga perlu dipatuhi.

“Pegawai agama daerah bertanggungjawab dalam mengenalpasti jemaah yang akan menghadiri solat Jumaat. Catatan butiran diri ahli jemaah perlu dicatat dengan teliti.

“Individu yang berumur 60 tahun dan ke atas tidak dibenarkan hadir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, kata MAIDAM, setiap yang diizinkan hadir hendaklah membuat pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran selain memakai penutup mulut dan hidung termasuk ketika menunaikan solat.

“Mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selesema tidak dibenarkan hadir.

“Begitu juga mereka yang mempunyai sejarah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi, lelah, penyakit barah, dan sebagainya, juga tidak dibenarkan hadir,” ujarnya.

Syarat-syarat lain ialah:-
“Masjid yang tidak mampu untuk memenuhi kesemua syarat dan panduan yang ditetapkan, tidak dibenarkan untuk melaksanakan solat Jumaat berkenaan,” kata kenyataan itu.

Bagi pelaksanaan sembahyang fardhu lima waktu secara berjemaah di masjid pula, hanya dibenarkan tiga orang sahaja terdiri daripada ahli jawatankuasa masjid dan pegawai masjid secara bergilir-gilir dengan mematuhi syarat-syarat berkaitan.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu juga memutuskan tiada solat sunat Aidilfitri diadakan di masjid dan surau pada 1 Syawal ini.