Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

PKPB: Tradisi Gawai jadi jambatan perpaduan Malaysia-Indonesia

PKPB: Tradisi Gawai jadi jambatan perpaduan Malaysia-Indonesia
Mereka merupakan kumpulan etnik Bidayuh Biya yang berasal daripada keturunan yang sama namun menetap di dua negara yang berbeza dan hubungan persaudaraan dijalinkan sangat utuh. - Foto Astro AWANI
KUCHING: Di sebalik penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), masyarakat Dayak di Sarawak tetap menghargai sambutan Hari Gawai yang diraikan hari ini.

Walaupun 'ngabang Gawai' (ziarah rumah ke rumah)  tidak boleh dilakukan tahun ini, namun masih terdapat keistimewaan perayaan ini yang masih dapat dikekalkan iaitu hubungan silaturrahim.
Bagi penduduk Kampung Sapit, Siburan, keistimewaan sambutan Hari Gawai bagi mereka adalah penyatuan dan keharmonian dengan sanak saudara yang menetap di Kampung Gun Tembawang, Kalimantan, Indonesia.

Mereka merupakan kumpulan etnik Bidayuh Biya yang berasal daripada keturunan yang sama namun menetap di dua negara yang berbeza dan hubungan persaudaraan dijalinkan sangat utuh.
Kampung Sapit terletak 60 kilometer dari pusat bandaraya Kuching dan terpisah antara kaki Gunung Seraong di sempadan Sarawak-Kalimantan.

Namun tahun ini, Hari Gawai hanya boleh diraikan secara bersederhana dan hanya 20 orang dibenarkan berada dalam sesebuah rumah.

Menurut Yuyuh Gumi yang merupakan ketua Kampung Sapit, perayaan tahun ini sangat berbeza kerana sebelum ini aktiviti 'ngabang Gawai' merupakan acara wajib setiap kali tiba Hari Gawai.

“Tahun-tahun sebelumnya, kami akan memastikan acara ini diadakan, kebiasaannya kami akan ke Kampung Gun Tembawang terlebih dahulu sebelum mereka 'ngabang' ke kampung kami.

“Tetapi tidak mengapa kerana apa yang lebih penting adalah kesihatan dan kesejahteraan semua, malah kami sudah berpakat, kami menjaga mereka dan mereka akan menjaga kami,” tambahnya.

Manakala bagi Ketua Gawai Kampung Pisa, Rambi Riko, langkah pencegahan yang digariskan harus dipatuhi sebaiknya bagi membolehkan wabak COVID-19 tidak menular.

“Kalau masih berdegil dan tidak mematuhi langkah pencegahan dan keselamatan digariskan pihak berkuasa, keadaan tidak pulih seperti dahulu.

“Jadi tidak mengapa sekiranya tiada 'ngabang Gawai', apa yang penting adalah keselamatan semua dan apa yang paling penting kami terus mengingati antara satu sama lain,” kata Rambi.

Harapan mereka pastinya keadaan kembali pulih dalam masa terdekat bagi membolehkan kemeriahan sambutan Hari Gawai dapat dirasakan di tahun-tahun akan datang.


Tag: Hari Gawai, Sarawak, Siburan, Kalimantan, Indonesia, Dayak, Bidayuh Biya



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.