Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah meluluskan permohonan kerajaan Negeri Kedah bagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat Pentadbiran (PKPD Pentadbiran) di empat mukim di negeri itu, mulai hari ini.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia merangkumi empat mukim termasuk Kubang Pasu dan Padang Terap.

"Mengambil kira 11 kes baru yang berpunca daripada Kluster Sivagangga di Kedah yang melibatkan empat mukim. Kerajaan Negeri Kedah telah memohon untuk melaksanakan PKPD secara Pentadbiran di Radius satu kilometer daripada Restoran Nasi Kandar Salleh, Pekan Napoh (Mukim Hosba, Kubang Pasu), Kampung Pida Satu, Megat Dewa (Mukim Ah, Kubang Pasu), Kampung Bendang Dalam (Mukim Binjal, Kubang Pasu), Kampung Ulu, Padang Sanai (Padang Terap).


"Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai pelaksanaan PKP Pentadbiran hari ini telah meluluskan permohonan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan PKPD Pentadbiran di kawasan-kawasan berkenaan mulai 3 Ogos hingga 30 Ogos 2020," katanya dalam sidang media harian pelaksanaan PKP Pentadbiran di ibu negara, pada Isnin.

Pelaksanaan PKPD Pentadbiran itu jelas Ismail akan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dengan tambahan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk dan penutupan beberapa jalan utama sekitar.

Malah 7,000 penduduk akan disaring oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala kawasan masjid, rumah ibadat, tadika dan sekolah ditutup sepenuhnya bagi sebarang aktiviti.