Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan aktiviti komersial yang melibatkan urus niaga jualan dan pemasaran bukan dalam premis perniagaan dibenarkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Muhyiddin berkata selain itu, waktu operasi perniagaan juga akan kembali seperti biasa dengan pelaksanaan normal baharu melibatkan pemilik premis dan pelanggan.

“Penjarakan sosial, penggunaan pelitup muka di tempat awam dan membasuh tangan menggunakan sabun atau hand sanitizer merupakan kebiasaan baharu yang mesti diamalkan.

“Termasuk dalam senarai yang dibenarkan juga ialah lawatan ke muzium, indoor busking, dobi layan diri, aktiviti perikanan rekreasi termasuk kolam pancing komersial dan penggambaran filem.

“Mesyuarat dan bengkel juga dibenarkan dengan syarat mematuhi sepenuhnya protokol kesihatan dan mengoptimumkan ruang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Perdana Menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan, pada Ahad.