Kerajaan bersetuju membenarkan kemasukan rakyat asing ke Malaysia, bagi ekspatriat kategori EP1 iaitu melibatkan pengurusan tertinggi seperti pengarah urusan syarikat.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata individu kategori tersebut tidak perlu memohon kebenaran daripada Jabatan Imigresen Malaysia sebelum memasuki negara ini.

Bagaimanapun, mereka tetap perlu menjalani saringan COVID-19 di negara asal, sebelum berlepas ke Malaysia atau membuat ujian calitan tekak di pintu masuk negara.

"Individu yang bertolak dari negara dalam senarai zon hijau tidak perlu menjalani proses kuarantin
wajib 14 hari. Namun, mereka perlu memuat turun dan menggunakan aplikasi MySejahtera untuk proses pemantauan.

"Bagi mereka yang datang dari negara bukan zon hijau, mereka perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

"Setakat hari ini, negara zon hijau adalah Singapura, Brunei, New Zealand dan Australia," katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

Sementara itu, bagi pakar teknikal asing yang diperlukan untuk kerja-kerja tertentu, Ismail Sabri berkata kumpulan tersebut perlu memohon Professional Visit Pass melalui Expatriate Services Division (ESD) secara dalam talian terlebih dahulu.

Ia termasuk kerja seperti membaiki mesin, kapal dan lain-lain, yang di luar kepakaran rakyat di negara ini.

Katanya, kumpulan tersebut juga perlu melakukan prosedur sama seperti kategori EP1.