Kerajaan tidak teragak-agak untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sekiranya berlaku peningkatan mendadak kes COVID-19 sepanjang tempoh PKP Pemulihan (PKPP).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia dilaksanakan di kawasan atau lokaliti yang dikesan berlaku pertambahan kes mendadak.

“Saya harap kita semua sentiasa berdisiplin supaya peningkatan kes COVID 19 dapat kita elakkan.

“Sehubungan dengan pelaksanaan PKPP ini, saya menyeru saudara dan saudari semua untuk menggunapakai aplikasi MySejahtera yang telah dibangunkan oleh kerajaan untuk membolehkan saudara-saudari melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.

“Aplikasi ini juga akan membolehkan Kementerian Kesihatan mengambil tindakan yang cepat, tepat dan berkesan untuk mengenal pasti dan memaklumkan kontak rapat sekiranya berlaku kes jangkitan COVID-19 dalam masyarakat,” katanya pada Perutusan Khas Perdana Menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan, pada Ahad.

Dalam usaha memastikan pandemik COVID-19 kekal terkawal, Perdana Menteri berkata rakyat negara ini perlu mengambil tanggungjawab secara serius untuk mengamalkan normal baharu kehidupan dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Ini bermakna, tanggungjawab untuk memastikan wabak COVID-19 kekal terkawal berada di tangan saudara dan saudari sekalian.

“Saya juga ingin menekankan kepentingan peranan pemimpin masyarakat termasuk ketua kampung, ketua komuniti dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membendung penularan wabak ini dengan memastikan semua anggota masyarakat mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Tidak kurang pentingnya ialah peranan majikan. Para majikan juga mestilah memastikan semua pekerja mematuhi SOP di tempat kerja," katanya.

Tegas Perdana Menteri, sekiranya rakyat negara ini terus berdisiplin dan konsisten, beliau percaya penularan wabak COVID-19 akan kekal terkawal.

“Kita akan memasuki fasa normalisasi selepas 31 Ogos 2020 sehinggalah vaksin untuk virus COVID-19 ditemui,” katanya.