Pengusaha premis makanan perlu ada pramusaji atau sarung tangan pakai buang bagi kegunaan pelanggan, sekiranya menghidang makanan secara buffet.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, mana-mana pengusaha yang tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu berdepan tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Jelasnya, ketika ini, masih terdapat premis-premis makanan yang menghidangkan makanan secara buffet tanpa pramusaji ataupun penyediaan sarung tangan pakai buang semasa mengambil makanan.

"Restoran, hotel, kafe di hotel mula dibuka. Kita dapati banyak kes di mana apabila buffet disediakan, ada yang tidak patuh.

"Dua peraturan perlu dipatuhi apabila menyediakan hidangan secara buffet. Pertama mesti disaji oleh pramusaji sebab kita tak nak senduk itu dipegang atau sediakan sarung tangan plastik nipis. Tidak semestinya sarung tangan mahal. Namun, ia tidak boleh bergilir, mesti pakai buang,"katanya dalam sidang media di bangunan parlimen pada Khamis.

Justeru, beliau mengingatkan semua pengusaha premis makanan termasuk di hotel agar patuh dengan SOP ditetapkan.

"Saya harap restoran dan kantin patuh kepada apa yang disaran oleh KKM dan MKN ini. Kalau tak patuh, maka Akta 342 digunakan dan mereka boleh dikompaun atau didakwa di mahkamah. SOP ini mudah dan harap semua patuh," tambahnya.